Skip to main content

Tenis

Zverev harap berpeluang sahut cabaran Djokovic di Australia

zverev.jpg
Alexander Zverev percaya dia akan membentuk kelompok tiga pemain gergasi di samping Novak Djokovic dan Daniil Medvedev pada tahun depan sambil menolak mempunyai peluang cerah untuk merangkul gelaran pemain nombor satu dunia dalam Terbuka Australia.

Pemain Jerman itu menghampiri ranking teratas selepas menempuhi tahun menarik yang menyaksikannya memenangi enam kejuaraan termasuk Final ATP di Turin dan pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo.

Zverev, yang kini menduduki tempat ketiga, berpeluang merampas ranking teratas sekiranya dia menawan Terbuka Australia yang bermula bulan depan, tetapi ia hanya mungkin menjadi kenyataan sekiranya pemain nombor satu dunia ketika ini, Djokovic, tidak beraksi. 

Zverev, bagaimanapun, masih menyimpan hasrat untuk melihat bintang Serbia itu untuk mengambil bahagian di sebalik perdebatan mengenai pendiriannya terhadap pengambilan vaksin COVID-19. 

Ini kerana juara sembilan kali Terbuka Australia itu masih enggan mengambil vaksin. 


 

Ketua kejohanan, Craig Tiley, pada minggu ini berkata dia masih berharap untuk melihat pemain terbaik jelajah ATP itu mengambil bahagian sekiranya dia memenuhi syarat yang ditetapkan, sama ada sedang divaksin atau mendapat pengecualian perubatan.

"Situasi di antara Novak dan Australia masih menjadi tanda tanya," kata Zverev di siaran podcast dengan Eurosport Jerman.

“Sudah tentu saya berharap dia akan dibenarkan bermain. 

“Jika dia tidak beraksi di Australia dan saya memenanginya, maka saya berpeluang muncul sebagai pemain nombor satu dunia. 

"Di penghujung hari, sekarang bukan masa untuk memikirkan tentang menjadi pemain nombor satu dunia. Kini adalah masanya untuk membuat persediaan dengan sebaik mungkin supaya fizikal saya bersiap untuk mencapainya."


 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video