Skip to main content

Permotoran

ZK lancar Minimoto National Championship bulan depan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

minimoto.jpg
Kelab Sukan Bermotor ZK akan menganjurkan perlumbaan Minimoto National Championship pada 26 April depan, sebuah perlumbaan sokongan kepada FIM MiniGP Malaysia. 

Perlumbaan ini akan berlangsung di litar dan tarikh yang sama dengan FIM MiniGP Malaysia, menjadikannya platform terbaik untuk mencungkil bakat muda dalam sukan bermotor.

Perlumbaan berkenaan menggunakan format "One Make Series", di mana setiap pelumba akan dibekalkan jentera lumba Polini 910 Carena RS Air Cooled 4.2hp oleh pihak penganjur. 

Enjin dikawal sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang modifikasi, memastikan persaingan yang adil. Perlumbaan ini terbuka kepada pelumba berumur 6 hingga 9 tahun (kelahiran 2019 hingga 2016), dengan satu kategori sahaja dan slot terhad kepada 18 pelumba. 

Tiga pelumba terbaik berdasarkan pungutan mata keseluruhan akan menerima tajaan ke SIC Ohvale Junior Championship pada tahun hadapan.

Pengarah Kejohanan FIM MiniGP Malaysia & Minimoto National Championship, Zulfahmi Khairuddin, berkata: "Minimoto National Championship diwujudkan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 9 tahun menceburi dunia permotoran. 



"Seperti yang kita tahu, FIM MiniGP Malaysia telah berkolaborasi dengan M8 Pushbike dan kejohanan
Minimoto ini adalah kesinambungan daripada pushbike ke sukan bermotor. 

"Dahulu, perlumbaan pocketbike sangat meriah dengan pelbagai penganjuran dari kelab-kelab
berlainan, namun ia semakin berkurang tahun demi tahun. 

"Melalui inisiatif ini, Kelab Sukan Bermotor ZK berusaha mengembalikan kegemilangan perlumbaan pocketbike
dan membina asas lebih kukuh untuk pelumba muda."

Yuran penyertaan masih belum ditetapkan dan akan dimaklumkan semasa sesi pemilihan, namun setiap pelumba diwajibkan membeli sut perlumbaan, sarung tangan, kasut, dan helmet daripada Kelab Sukan Bermotor ZK bagi memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan, sejajar dengan penggunaan litar Go-Kart penuh, sama seperti FIM MiniGP Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video