Skip to main content

Sukan Lain

Ziyad pasang hajat ke Sukan Asia

ziyad-140917.jpg
Jurulatih lontar peluru para negara, Faizol Harun, mempertaruhkan anak didiknya, Ziyad Zolkefli, untuk membuat kemunculan pertama dalam Sukan Asia 2018. 

Biarpun penampilan sulung Ziyad dalam Sukan SEA bulan lalu gagal mencapai sasaran utama untuk memecahkan rekod kebangsaan, namun itu bukan penghalang untuk Faizol terus mengorak langkah buat atlet bimbingannya itu. 

Sukan Asia di Jakarta/Palembang pada Ogos tahun depan menjadi sasaran seterusnya walaupun daripada segi kriteria, Ziyad tiada pencapaian terbaik untuk memberinya kelayakan automatik ke temasya berkenaan. 

Tetapi, itu bukan jalan mati buat Ziyad yang perlu membuat langkah pertama memecah rekod kebangsaan yang dipegang Adi Alifuddin sejauh 17.56 meter, selewat-lewatnya pada penghujung Mac 2018. 

"Berdasarkan program latihan yang telah dirancang, saya yakin Ziyad mampu mencecah lontaran sejauh 18 meter tahun depan. 

"Untuk melakukan lontaran sejauh 18.5 meter, saya berasakan ia sukar tetapi dia bertekad untuk melakukannya. 

"Kami akan memberinya peluang untuk mencubanya," ujar Faizol. 

Seterusnya, Ziyad perlu mengintai peluang untuk berada dalam kelompok lapan terbaik Asia. 

Namun, perancangan anak jati Selangor itu adalah untuk mengatasi catatan 18.65m oleh atlet China yang menghuni ranking kelima Asia.

Kedengarannya agak sukar, namun ia akan menjadi satu sejarah baru andai Ziyad mampu muncul selaku atlet lontar peluru pertama yang berjaya membawa nama Malaysia di pentas Sukan Asia. 

"Agak sukar buatnya. Kami telah berbincang dan dia akan mencubanya. 

"Kalau dia berjaya melepasinya, segala-galanya terpulang kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)," tambah Faizol.

Advertisement

Must Watch Video