Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan ucapan tahniah buat Thamaraj A/L Vasudevan selepas merangkul pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, UAE, semalam.
Thamaraj mencipta sensasi tersendiri apabila menjadi pesilat pertama negara berbangsa India yang dinobatkan sebagai juara untuk menutup kempen skuad negara dengan mengumpul enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa secara keseluruhannya.
Dia menumbangkan pesilat dari Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek, menerusi kategori bebas putera.
"Saya amat teruja melihat kemenangan Thamaraj A/L Vasudevan, pesilat dari Malaysia yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera di Abu Dhabi, UAE.
"Dalam pertarungan akhir kategori bebas putera, Thamaraj telah mempersembahkan aksi hebat dengan menewaskan wakil Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek sekali gus membawa pulang pingat emas yang amat bermakna untuk negara.
"Selain kemenangan Thamaraj, pasukan silat negara yang lain juga turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan di mana pasukan senior berjaya meraih 6 pingat emas, 9 perak dan 4 gangsa, manakala pasukan remaja turut cemerlang dengan membawa pulang 5 emas, 4 perak dan 4 gangsa.
"Antara wira dan wirawati pesilat dewasa & pesilat remaja yang menyumbang emas termasuk Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil dan Ukail Darwis.
"Tahniah, tahniah! Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Wira Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bersama memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan silat negara." katanya menerusi hantaran di Facebook.
Saufi Tahir
Mon Dec 23 2024