YSD Track Series menjanjikan untuk melahirkan lebih ramai bakat muda berbasikal negara tahun depan.

Selepas 14 siri perlumbaan sepanjang tahun ini, kejohanan itu akan memasuki pusingan grand final di Velodrom Nasional Nilai hujung minggu ini.

Dengan kejayaan yang diraih dalam penganjuran edisi kedua itu, YSD memasang impian untuk lebih mengembangkan sukan berbasikal negara dalam penganjuran edisi ketiga tahun depan.

Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, ketika bercakap sebagai tetamu Nadi Arena hari ini, berkata: "Saya harap pada 2025, kami dapat meneruskan apa yang sedang kami lakukan, meningkatkan segala aspek dan mencari seorang ikon muda yang kita perlukan dalam sukan ini.

"Seperti yang kita ketahui, Azizul (Datuk Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek nombor satu negara) sudah mengumumkan persaraan walaupun ada usaha untuk memujuknya (agar tidak bersara).

"Ia satu kejohanan yang kita perlukan dan saya berharap pihak Kerajaan akan menyokong kami kerana ada cara yang baik untuk mereka memberikan sokongan, iaitu dengan mengurangkan kos sewaan velodrom.

"Jika mereka boleh menyewakannya secara percuma atau dengan harga yang berpatutan, kita boleh melakukan lebih banyak aktiviti," katanya.