SUKAN LAIN
Tinju Antarabangsa Johor: Farkhan sedia lakukan perhitungan semula
Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, sedia mengadakan pertarungan semula dengan Pascal Ndoma di Tanzania selepas mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan menerusi kemenangan 'technical knock out' (TKO) dalam pusingan ketujuh Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor semalam.
Farkhan tidak berdepan masalah untuk menghadapi pertarungan semula menentang Ndoma yang kepenatan ekoran lewat tiba di Malaysia.
Semalam, peninju berusia 31 tahun itu beraksi baik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) walaupun mengalami kecederaan jari.
Iklan
Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu mengasak sebaik bermula pusingan ketujuh sebelum melepaskan tumbukan padu yang memaksa Ndoma rebah dan mengaku kalah.
Ia kemenangan ke-11 berturut-turut Farkhan, sekali gus mempertahankan tali pinggang cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia, Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia dan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) Antara Benua.
"Saya berada di sini kerana raja dan seluruh Malaysia. Selepas ini, saya kena kerja lebih kuat kerana tahu depan saya perlu pertahankan kejuaraan ini," katanya.
"Sudah tentu (untuk ulangan pertarungan). Bila-bila masa di mana sahaja, saya akan bersedia."
"Farkhan seorang peninju yang bagus, cuma dia kurang pengalaman. Dia perlukan seorang jurulatih dan rakan sepelatih yang berkualiti untuk melangkah jauh. Saya harap dapat mengadakan pertarungan semula dengannya," ujar Ndoma.
Turut cemerlang adalah M. Eswaran yang merangkul tali pinggang kejuaraan pertama selepas menewaskan peninju Indonesia, Hery Andryanto, menerusi keputusan sebulat suara juri.
Eswaran menghadiahkan tali pinggang welterweight IBA itu kepada anaknya yang baru lahir, Oktober lalu.
"Memang saya berterima kasih kepada isteri. Dia banyak mendorong saya sehingga ke sini. Tiada di sini, tiada saya. Dia banyak bantu dan saya banyak berkongsi dengannya," katanya.
Editor: Nafis Abdullah
Must-Watch Video