Skip to main content

Hoki

Tiada rombakan besar skuad hoki wanita

dhaarma-raj-020917.jpg
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tidak merancang untuk melakukan rombakan besar-besaran ke atas skuadnya bagi persiapan menghadapi Piala Asia bulan depan dalam mencari slot terakhir ke Piala Dunia London 2018.

Dhaarma bercadang untuk menyenaraikan 18 pemain sahaja yang akan ke Kakamigihara, Jepun nanti. 

Dalam tempoh waktu yang singkat, sukar baginya untuk membentuk gandingan baru, apatah lagi Malaysia mempunyai misi penting selepas dikecewakan di Belgium, Jun lalu. 

Pemain-pemain akan kembali melaporkan diri pada 14 September ini dan Dhaarma akan menilai semula barisan pemainnya berdasarkan prestasi dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir Rabu lalu.

"Pemain daripada skuad Sukan SEA dan seorang pemain luar, Fazillah Sylbester Silin, mempunyai peluang lebih cerah berbanding pemain yang lain. 

"Pemain muda akan diutamakan sebagai pendedahan awal untuk slot dalam Piala Asia," ujarnya. 

Malaysia perlu muncul juara dalam saingan Piala Asia jika berhasrat menempah slot ke Piala Dunia London 2018. 

Sebanyak lapan pasukan akan bersaing dalam Piala Asia nanti, dengan China, Korea Selatan serta Jepun sudah pun melayakkan diri ke Piala Dunia. 

"Kalau pasukan lain ingin menghantar pasukan kedua, itu akan membantu kita. 

"Tetapi daripada apa yang saya belajar dalam dunia hoki wanita ini, mana-mana pasukan yang mencapai satu tahap mampu mencabar pasukan handalan dunia, maka mereka mempunyai peluang."


 

Advertisement

Must Watch Video