Legenda tinju, Mike Tyson, menamatkan pertarungan dengan kekalahan ditangan pempengaruh bertukar karier kepada petinju, Jake Paul, di Stadium AT&T sebentar tadi.

Mike Tyson, bekas juara dunia kategori heavyweight berusia 58 tahun itu, berkongsi gelanggang bersama pempengaruh yang bertukar karier menjadi petinju, Jake Paul, 27, dalam pertarungan pertama sang legenda itu dalam tempoh 19 tahun.

Selepas hampir setahun menantikan pertembungan ini, akhirnya dua individu ini berkongsi gelanggang dengan misi untuk membuktikan siapa yang terulung.

Kali terakhir mereka bertemu untuk pertembungan ini menyaksikan Jake Paul ditampar Mike Tyson dan ia menjadi satu insiden yang tular di seluruh dunia.

Sejurus loceng dibunyi, Tyson mempamerkan gerakan ikoniknya, gaya bob-and-weave. Paul kekal mengawal jarak. Tyson melepaskan beberapa tumbukan ke arah Paul. Menggunakan kelebihan usia yang lebih muda, gerakannya lebih pantas mencari ruang untuk melakukan tumbukan.


Pusingan kedua kedua-dua petinju mengambi langkah berjaga-jaga mengatur serangan, tiada sentuhan yang memberikan impak yang besar.

Permulaan pusingan ketiga menyaksikan Paul melepaskan deretan tumbukan ke arah Tyson, dia berdepan situasi sukar dan kelihatan sukar untuk bergerak. Ternyata usia mula memakan diri Tyson dalam gelanggang.

Kepenatan Tyson jelas kelihatan menerusi pergerakan yang kurang kemas, gagal mendapatkan tumbukan yang tepat ke arah Paul, dia cuba untuk merapatkan kedudukan namun Paul bijak mengawal gerakan di gelanggang.

Menggunakan kelebihan di atas masalah kecergasan Tyson, Paul terus mengorak langkah untuk melakukan tumbukan dan mengutip mata.

Memasuki pusingan terakhir, Tyson masih lagi berdiri walaupun di sebalik kepenatan, menunggu peluang terhidang untuk melakukan tumbukan.

Bagaimanapun perlawanan lapan pusingan untuk berakhir dengan kedua-dua pasukan kekal berdiri di atas gelanggang dengan mereka saling menghormati selepas loceng dibunyikan bagi menandakan perlawanan berakhir.


Selepas tamat lapan pusingan, pengadil membuat keputusan menyaksikan kemenangan memihak Jake Paul.