Datuk Azizulhasni Awang hanya senyap dan masih terkejut selepas dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis sebentar tadi.
The Pocket Rocketman dibatalkan penyertaan gara-gara memotong terlalu awal sebelum derny keluar sepenuhnya daripada trek, sekali gus menyaksikan perjuangannya berakhir.
Perkara itu meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia dan ketua jurulatih skuad negara, John Beasly, berkata Azizulhasni merupakan individu paling terkesan dengan keadaan itu.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Beasley berkata: "Dia amat senyap, dia masih terkejut.
"Saya fikir ia terlalu menyedihkannya. Ia terlalu sukar untuk diterima. Ia pasti berbeza jika anda dapat berlumba tetapi anda tidak dapat.
"Jadi, bagi saya, dia dalam keadaan terkejut, sama seperti kita semua.
"Tetapi pada akhirnya, dia yang terkesan paling teruk kerana ini kariernya.
"Bagi saya, saya dapat rasa apa yang dia rasakan. Saya akan sentiasa berada di sisinya.
"Tidak banyak yang kita boleh lakukan," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Aug 10 2024