Skip to main content

SUKMA

Terengganu azam rampas juara keseluruhan Sukma 2018

drm2.jpg
Terengganu kini menghampiri fasa terakhir persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak dengan membawa misi merampas kejuaraan keseluruhan dalam temasya dwitahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata hampir 500 atlet akan disenarai pendek pada Disember ini daripada 600 hingga 700 yang menjalani latihan ketika ini.

Menurutnya, jumlah itu akan melengkapkan senarai pasukan yang bertanding dalam kesemua acara, seterusnya mengikuti modul lebih mantap dan intensif yang dirancang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kelak.

“MSNT akan mengenal pasti acara-acara berpotensi untuk meraih pingat emas dan melakukan persiapan rapi, termasuk menghantar atlet-atlet berguru di luar negara.

“Sukan yang meningkat naik juga akan diberi perhatian, antaranya judo, berbasikal, memanah dan menembak,” ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal, Syed Mohd Hussaini Mohd Mazlan, menyifatkan prestasi pelumba negeri itu kini pada tahap terbaik, termasuk Mohd Nur Aiman Zariff dan Nur Aisyah Mohamad Zubir yang menyertai Sukan SEA, bulan lalu.

Selain itu, katanya, Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menyediakan persiapan lebih agresif untuk memantapkan kayuhan selain menyertai pelumbaan di dalam dan luar negara.

“Kami baharu selesai siri Jelajah Korea dan pencapaian pelumba sangat membanggakan, antaranya prospek pingat emas Sukma, Wan Abdul Rahman Hamdan, yang menduduki kedudukan podium.

“MSNT dijangka meletakkan sasaran tinggi untuk acara berbasikal. Namun, kontinjen Johor dan Selangor adalah antara pencabar terkuat di Perak nanti,” tambah Syed Mohd Hussaini lagi.

Rozi dan Syed Mohd Hussaini ditemui selepas Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu dan Kira Detik Setahun Sebelum Sukma 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, malam tadi.

Turut diumumkan dalam majlis sama ialah 'bapa angkat' melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta jabatan kerajaan kepada setiap acara dipertandingkan dalam temasya itu.

Advertisement

Must Watch Video