Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Taktik Medvedev dilabel kurang matang

medvedev.jpg
Daniil Medvedev mengakui dia seakan-akan hilang akal apabila mengeluarkan kata-kata keras terhadap pengadil ketika mencatat kemenangan ke atas Stefanos Tsitsipas dalam separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia.

Pemain Russia itu berkata permainannya terganggu dan mempersoalkan mengapa pengadil tidak bertindak sesuatu kepada ayah Tsitsipas yang duduk di bangku penonton sambil menjerit bahasa Greece ke arah gelanggang. 

Adalah menyalahi peraturan jurulatih memberikan arahan kepada pemain yang sedang beraksi. 
 
Medvedev kemudian menggelar pengadil itu sebagai "kucing kecil" dalam luahannya di gelanggang Rod Laver Arena, Melbourne, itu. 

Dan selepas mencipta kemenangan 7-6 (7-5), 4-6, 6-4, 6-1 bagi mengulangi pencapaian muncul sebagai finalis musim lalu, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu mengakui ada masanya dia sendiri menyesali tindakannya ketika beraksi. 

"Kamu semua ketawa, jadi saya rasa kita boleh katakan ia kelakar tetapi pasti ia disebabkan saya hilang akal. Saya tidak mampu mengawal diri sendiri lagi.

"Sebenarnya itulah sebabnya saya sangat gembira untuk menang. Dalam kebanyakan pertarungan seperti ini, saya pasti akan terus melakukan kesilapan -- hilang tumpuan ketika detik-detik panas. Sebab itu saya sangat gembira kerana berjaya mengharunginya," katanya. 

Walaupun kesal kerana menonjolkan sifat sedemikian, Medvedev mengakui adakala ia boleh membantu menyemarakkan semangatnya untuk menang.

"Saya menyesalinya sepanjang masa kerana saya rasa ia bukan sesuatu yang bagus," katanya. 

“Saya tahu setiap pengadil cuba menanganinya dengan cara terbaik.

"Dalam tenis kami tidak bertarung dengan penumbuk tetapi tenis adalah satu perjuangan. Ia melibatkan aksi satu lawan satu di antara pemain.

“Oleh itu, saya sebenarnya amat menghormati seseorang pemain yang tidak mempamerkan emosi mereka kerana ia sukar, sebaliknya saya pula yang bertukar menjadi sangat emosi.

"Saya sedang mengusahakannya. Banyak perlawanan yang saya dapat kendalikannya dengan baik. Ketika permulaan karier lima tahun lalu, ketika masih kurang dikenali dikenali, saya sentiasa bersikap gila-gila. 

"Saya tahu ia boleh membantu saya memenangi perlawanan. Jadi saya benar-benar 100 peratus menyesalinya tetapi sekali lagi, dalam situasi hangat saya boleh hilang pertimbangan."


 

Tsitsipas kemudian menggelar seterunya itu sebagai kurang matang demi mengalihkan tumpuannya. 

"Lucu. Saya tidak mahu ambil pusing perkara ini. 

"Saya sedar ada pemain yang gemar melakukan hal sebegini ini untuk menganggu fikiran lawannya. Mungkinkah ini merupakan satu taktik? 

"Tidak mengapa, ia bukan satu tindakan daripada seseorang yang paling matang," katanya. 

Sementara itu, Rafael Nadal di landasan tepat untuk menggondol gelaran grand slam ke-21 selepas melepasi rintangan Matteo Berrettini untuk mara ke final. 

Nadal perlu berjuang sebelum mengatasi pilihan ketujuh dari Itali itu 6-3, 6-2, 3-6, 6-3 dalam aksi selama dua jam, 55 minit.


 

Advertisement

Must Watch Video