Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Djokovic, Serena pamer aksi mantap ke pusingan ketiga

djokovic.jpg
Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Grand Slam Terbuka Australia menerusi kemenangan straight set ke atas Jo-Wilfred Tsonga tatkala saingan wanita pula menyaksikan kemaraan jaguh Amerika Syarikat, Serena Williams.

Djokovic, yang juga juara enam kali di Melbourne, menumpaskan Tsonga 6-3, 7-5, 6-4.

Tsonga, yang mengalami kejatuhan ranking ke tangga ke-177 dunia akibat kecederaan lutut yang mengehadkan aksinya kepada 12 perlawanan sahaja musim lalu, menampilkan keupayaan sebenar tetapi Djokovic lebih mendominasi permainan.

Aksi berdepan Tsonga bagaikan ulangan final 2008 yang menyaksikan pemain Serbia itu memenangi pertarungan empat set untuk memastikan gelaran Grand Slam pertamanya.

Djokovic bakal berdepan pilihan ke-25 dari Kanada, Denis Shapovalov, di peringkat seterusnya. 

Sementara itu, saingan wanita menyaksikan Serena Williams mengetepikan cabaran Eugenie Bouchard bagi meneruskan pengembaraannya untuk memburu gelaran Grand Slam ke-24.

Diletakkan selaku pilihan ke-16, Serena mencatat kemenangan 6-2, 6-2 ke atas lawan yang juga finalis Terbuka Wimbledon 2014 itu.

Pada usia 37 tahun, cabaran yang menantinya selepas ini adalah pemain di ranking ke-57 dunia dari Ukraine, Dayana Yastremska.

Dalam perkembangan sama, Simona Halep, yang dihimpit kecederaan dalam set kedua, lega apabila menjinakkan Sofia Kenin 6-3, 6-7 (5-7), 6-4 manakala Karolina Pliskova berhempas-pulas untuk bangkit mengatasi Madison Brengle 4-6, 6-1, 6-0.

Garbine Muguruza dan Johanna Konta pula terpaksa mengharungi permainan lewat (aksi berlangsung jam 12.30 tengah malam waktu tempatan) di Arena Margaret Court yang merupakan aksi paling lewat dalam sejarah Terbuka Australia.

Dan selepas mengharungi pertarungan selama dua jam 42 minit, Muguruza menang 6-4, 6-7 (3-7), 7-5.

Selain itu, Elina Svitolina, Venus Williams, Madison Keys dan Elise Mertens turut meraih kemenangan pada hari keempat pertandingan. 

Advertisement

Must Watch Video