Skip to main content

Tenis

Tenis Remaja Dunia: Dua wakil lelaki negara ke separuh akhir

izran-mohammed-farroukh.jpg
Dua perseorangan lelaki utama negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Jelajah Tenis Remaja Dunia di Kelana Jaya, hari ini, selepas mempamerkan aksi membanggakan untuk mencerahkan peluang merangkul trofi berprestij ini. 

Kem negara diceriakan dengan aksi luar biasa Izran Mohammed Farroukh yang bijak mengatur langkah untuk mendominasi Brendan Nicholas Hendrata.

Set pembukaan berlangsung sengit sebelum Izran seringkali mematikan langkah pencabar dari Indonesia itu dengan deretan pukulan ke belakang garisan untuk menang 6-3.

Ketekalan yang ditampilkan Izran itu nyata tidak dapat disaingi lawannya dalam set berikutnya sekali gus menoktahkan kemaraan pilihan ketiga kejohanan tersebut dengan keputusan 6-3, 6-2. 

"Perlawanan tadi sangat memenatkan, saya juga bermain dengan sangat bagus. 

"Lawan tidak dapat kawal pukulan saya. 

"Saya tahu dia seorang pemain yang agresif, jadi saya kerap memaksanya berlari bagi membuatkannya kepenatan," kata Izran. 



   

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Imran Daniel Abd Hazli menepati ramalan mara ke kelompok empat pemain terbaik apabila mudah menewaskan seorang lagi wakil negara, Jayden Ye, dalam straight set.

Imran bermula dengan rekod sempurna dalam set pertama selepas langkah kanan menerusi keputusan 6-0. 

Dia kemudian mengekalkan dominasinya dalam set kedua untuk menang 6-1.

Kejayaannya meraih keputusan positif itu menjadi suntikan semangat buatnya memburu gelaran pertama selepas dua tahun tersisih daripada saingan kompetitif ekoran kecederaan lutut. 

"Ia satu perlawanan yang sengit, pihak lawan memberikan saingan yang baik. 

"Tapi saya dapat menguasai gelanggang jadi kemenangan ini berjalan lancar.

"Saya tidak pernah sesekali memandang rendah pihak lawan kerana mereka juga membuat persediaan." kata Imran Daniel pula. 

Advertisement

Must Watch Video