Skip to main content

Hoki

Syamim mahu cipta nama di Itali

selvaraju.jpg
Bekas pemain hoki negara, S. Selvaraju dan Mohamad Syamim Yusof, mengembangkan sayap ke luar negara apabila menerima tawaran kelab divisyen dua Liga Itali, Pistoia Hockey Club, menjelang musim baru yang bermula hujung bulan ini.

Selvaraju -- yang bakal membuat penampilan keempat dalam Liga Itali -- berjaya meyakinkan pihak pengurusan Pistoia untuk mendapatkan khidmat Syamim.

Mereka akan mengetuai jentera serangan naib juara divisyen dua liga itu yang menetapkan sasaran untuk layak ke divisyen satu musim depan.

Tugas penting menanti kedua-dua bekas penyerang kebangsaan ini menjelang aksi sulung, 23 September ini.

"Saya rasa bangga kerana dapat membantu kawan-kawan ke sana dan ini penampilan keempat saya di Itali. Saya rasa Syamim akan menggunakan peluang ini untuk mencipta nama.

"Tahun lalu, kami menamatkan kejohanan di kedudukan kedua, jadi saya rasa dengan adanya Syamim, kami mampu layak ke divisyen satu," kata Selvaraju.

Syamim turut melihat peluang ini sebagai medan terbaik untuknya melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

"Misi saya di Itali nanti adalah untuk menimba pengalaman dan bermain dengan banyak pasukan seperti dilakukan Selvaraju dan mendiang Chua Boon Huat," ujarnya.

Selvaraju cukup berpengalaman beraksi di luar negara.

Ini kali ke-13 dia beraksi di kelab Eropah selepas menimba ilmu di Jerman, Australia, Belanda, England dan Scotland sebelum ini.

Mereka dijadualkan berangkat ke Itali, Jumaat ini.

Advertisement

Must Watch Video