Pusat Akuatik Pandelela Rinong secara rasminya melahirkan seorang lagi penerjun handalan yang menggegarkan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 menerusi terjunan pingat emas 10 meter platform individu hari ini.
Penerjun sensasi tuan rumah berusia 15 tahun, Nurul Farisya Alia Affendi, mencipta kejutan terbesar edisi ini dengan menewaskan pemenang emas Sukan SEA 2023, Lee Yiat Qing.
Justeru, sukar untuk membayangkan apa yang bermain di fikirannya.
Tidak pernah terlintas untuk menggondol emas kedua peribadinya dalam penampilan sulung Sukma, namun sebaik Nurul Farisya melakukan terjunan kejayaan menyapa dirinya.
Malah, sukan terjun merupakan pilihan keduanya memandangkan memulakan karier selaku atlet gimnastik artistik, lantas Nurul Farisya membuktikan di mana ada kemahuan di situ pastinya ada kejayaan.
Detik paling kritikal dalam perebutan emas bersama penerjun elit negara, Lee Yiat Qing ialah ketika terjunan keempatnya untuk diangkat selaku pemenang termuda terjun kali ini.
"Tak sangka boleh menang sebab terjunan hari ini tidak bagus.
"Terjunan keempat saya bagus walaupun sukar (daripada segi) teknikal. Saya sendiri pun terkejut boleh buat.
"Ini bukan acara kegemaran saya. Saya lebih memberi fokus kepada terjunan seirama dan seirama campuran," katanya.
ss
Wed Aug 21 2024