BOLING PADANG
Sukma Sarawak 2024: Sekeluarga menangis di corong telefon raikan emas
Pasukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) mengutip dua pingat emas bagi acara pairs dan triples lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Arena Bola Padang Sarawak, sebentar tadi.
Dengan pencapaian itu, MSWP yang dikendali oleh bekas pemain boling padang negara, Fairul Izwan Abd Muin, juga melengkapi sasaran yang diletakkan iaitu dua emas.
"Perlawanan final tadi sengit dengan end ke-14 dan 15 kedudukan terikat 12-12, mungkin dalam separuh akhir lagi mereka sudah dapat menyesuaikan diri dengan tie break.
Iklan
"Alhamdulillah sasaran dua pingat emas kami sudah tercapai dan kami masih menunggu gangsa daripada acara perseorangan wanita.
"Pusingan seterusnya dianggap sebagai bonus dan kami mahu mencari lebih banyak pingat lagi," kata Fairul Izwan.
Sementara itu, Amirul Naim Fazly yang memenangi emas triples lelaki berkata ia satu kejayaan besar apabila mereka berjaya mengharumkan nama keluarga.
"Pingat emas ini memang menjadi impian kami.
'Dalam edisi 2022, saya tidak memenangi apa-apa tapi Alhamdulillah tahun ini kami dapat capai sasaran.
"Perkara pertama yang kami buat ialah menghubungi keluarga yang berada di Sabah. Mereka akan ke sini esok.
"Kami sekeluarga menangis. Kami gembira sampai keluarkan air mata," kata Amirul .
Must-Watch Video