Pasukan Wilayah persekutuan menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila memenangi pingat emas acara bola jaring Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) dengan menewaskan Pahang 63-51 dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Ketua jurulatih Wilayah Persekutuan, Norizan Rajab, mengakui teruja untuk meraih pingat emas peribadi kelimanya sepanjang membimbing pasukan itu dalam temasya berkenaan.

Tambahnya, ia merupakan kali terakhir dia membimbing pasukan itu sebagai jurulatih memandangkan akan bertindak sebagai penasihat pasukan itu selepas ini.

Sebagai rekod, ia merupakan pingat emas kelapan Wilayah Persekutuan sepanjang sejarah Sukma.

"Ia satu perlawanan yang amat menarik, di mana jangkaan awalnya adalah Pahang merupakan satu pasukan yang sedang meningkat naik," kata Norizan kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kalau kita lihat diperingkat ketika ini, banyak pasukan menurunkan pemain-pemain muda, jadi saya rasa kita akan memiliki ramai bakat baru untuk mewakili negara.

"Ia satu platform yang amat bagus walaupun kita mengalami era pandemik yang amat panjang tetapi ini adalah hasilnya yang kita dapat lihat.

"Pemain negara bukan lagi menjadi satu faktor utama seandainya sesuatu pasukan memiliki program pembangunan yang baik.

"Apabila kita memiliki program pembangunan untuk tempoh yang panjang, empat atau lima tahun, inilah hasilnya. Kita memiliki ramai bakat-bakat baru untuk diketengahkan," katanya.