Pelari terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, dibawa menaiki ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil apabila mengalami kecederaan selepas menamatkan acara 200 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 sebentar tadi.
Situasi tersebut membantutkan hasrat Azeem untuk meraih emas berganda apabila tewas kepada atlet Muhammad Arsyad Md. Saat.
Difahamkan, Azeem mengalami kecederaan hamstring sekali gus menjejaskan rentak lariannya ketika final 200m itu sehingga membolehkan pencabar terdekatnya dari Johor itu memintas pada 10m terakhir untuk memenangi emas.
“Doakan saya,” kata Azeem ringkas ketika berada di dalam ambulan sebelum dibawa ke ISN.
Sebelum aksi akhir 200m lelaki hari ini, Muhammad Azeem ada membuat ciapan di Twitter miliknya menggambarkan yang dia mengalami kecederaan hamstring.
Pada aksi tersebut, Muhammad Arsyad berjaya memecut pada 10m terakhir untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 21.02 saat (s) dengan hanya dibezakan 0.01s berbanding Muhammad Azeem yang meraih perak.
Gangsa acara itu dimenangi wakil Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga menerusi catatan masa 21.18s.
Sementara itu, dalam acara 200m wanita, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dari Selangor berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 24.83s.
Pingat perak dimenangi Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah dengan catatan 25.18s, manakala gangsa diraih K M Darshini (25.74s).
Kredit: Sinar Harian
Ammar Hakim
Sun Sep 18 2022