Venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2026 masih kekal dengan status 'tunggu dan lihat' apabila Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, tampak mengakui masih terlalu awal untuk memutuskan perkara itu.
Dia menjelaskan sebarang keputusan akan dibuat oleh peringkat tertinggi, antaranya Exco Belia Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi.
Nizam ditemui selepas majlis pelancaran sebuah jenama sukan di Shah Alam, hari ini.
Kompleks Sukan Shah Alam menjadi pilihan utama untuk dijadikan sebagai venue utama Sukma 2026 termasuk acara pembukaan temasya jika ia dapat disiapkan menjelang 2026.
Manakala, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Merdeka dilihat sebagai 'Pelan B' untuk pemilihan venue berkenaan.
"Perkara itu perlu ditanyakan pada Exco kerana mereka yang akan tentukan. Atlet yang sedia ada akan teruskan berlatih jadi kemungkinan ada insentif latihan buat atlet yang berada dalam sasaran kami.
"Persediaan ini akan diteruskan menjelang Sukma 2026 nanti." katanya.
Saufi Tahir
Sat Nov 16 2024