SUKAN SEA
Sukan SEA Thailand: Tekanan bukan alasan tidak senaraikan spesifik pingat
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu meletakkan sasaran pingat sebenar menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025, Disember depan.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tidak mensasarkan spesifik warna pingat dengan hanya meletakkan jumlah keseluruhan sahaja berdasarkan saranan pakar kerana mengambil kira keluhan atlet yang dianggap tekanan ketika membawa nama negara.
Melihat perkembangan tersebut, Shapawi menjelaskan setiap atlet perlu sedar akan tanggungjawab yang dipikul dengan tidak boleh menyalahkan faktor tekanan berlebihan sebagai alasan untuk gagal membutirkan sebarang pingat.
Iklan
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada proses mematangkan atlet sebelum bergelar juara.
Tambahnya lagi, nasihat pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun perlu dikaji semula sebelum mengeluarkan kenyataan yang akhirnya mendapat kritikan pelbagai pihak.
"Keputusan itu dibuat ke arah Sukan Olimpik. Pandangan saya, ia mempunyai banyak pendekatan yang boleh diguna pakai.
"Sukan SEA menyaksikan bilangan penyertaan tidak lebih daripada 10 negara. Kita boleh agak kemampuan kita," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa turut senada dengan Shapawi dan menganggap sasaran tersebut penting bagi memastikan reputasi negara berada pada lingkungan terbaik di pentas Asia Tenggara.
"Kemudahan dan sokongan yang disediakan selain segala perbelanjaan ditanggung oleh negara. Jadi, sewarnya mereka harus diberi sasaran pingat," katanya.
Must-Watch Video