SILAT
Sukan SEA Thailand: Abdul Latif sedia galas cabaran demi impian bawa ibu tunai umrah
Juara dunia pencak silat 2024 bagi acara tanding kelas-H putra, Mohd Abdul Latif Mazakir kekal komited dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand walaupun kategori asalnya tidak dipertandingkan di temasya tersebut.
Latif menyatakan kesediaannya untuk mengisi kekosongan dalam skuad negara sekiranya bekas juara dunia kelas-I, Muhammad Robial Sobri tidak sempat pulih daripada kecederaan menjelang temasya dwitahunan itu.
"Untuk Sukan SEA ini, saya sekarang tengah dalam simpanan untuk kejohanan ini kerana kategori yang saya selalu bertanding tiada, kemungkinan akan disuruh menaikkan berat badan untuk simpanan sebab ada seorang lagi (Abang Robial) yang kini dalam proses rehab usai pembedahan kaki " kata Latif.
Iklan
Namun begitu, untuk melayakkan diri ke kelas-I, Latif perlu menambah berat badan bagi memenuhi syarat kategori tersebut, yang berada satu tahap lebih tinggi berbanding kelas asalnya.
"Untuk saya kini dalam setiap kejohanan saya kena naikkan berat saya. Untuk kelas saya sebelum ini di kejohanan dunia pun saya kena naikkan berat tapi mencabar sebab tak naik-naik. Sekarang ini pun nak naik ke kelas-I pun saya tengah usahakan. Buat masa sekarang semua berjalan lancar. Alhamdulillah.
Meskipun kini berstatus 'pemain simpanan', Latif tetap menjadikan Sukan SEA sebagai medan untuk membuktikan kemampuannya, selain berpegang pada satu impian peribadi yang cukup menyentuh hati.
"Untuk 2025 ini saya sasarkan satu sahaja, tahun ini saya nak hantar mak saya pergi umrah dulu. Inshallah saya tengah usahakan untuk mak dan kedua untuk 2025 ini saya memang sasarkan untuk Sukan SEA jika diberi peluang sertai saya akan buat dengan terbaik," ujarnya penuh semangat.
Semangat juang Latif bukan sahaja menggambarkan dedikasi seorang atlet berwibawa, tetapi turut memperlihatkan nilai kekeluargaan yang menjadi pendorong utama kejayaan di pentas antarabangsa.
Must-Watch Video