Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: KRM mahu skuad 7s negara pertahan emas

ragbi.jpg
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) nekad mahu skuad ragbi 7s lelaki negara mempertahankan gelaran juara Sukan SEA di Filipina, 30 November-11 Disember depan. 

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata walaupun Filipina memiliki kelebihan sebagai tuan rumah dan ramai pemain kacukan, namun kekuatan fizikal dan mental serta semangat berpasukan yang bakal ditonjolkan pemain negara mampu memberi kejayaan buat Malaysia. 

“Kita mengetahui Filipina sebagai negara tuan rumah akan membuat persiapan yang sangat rapi dan mereka juga mempunyai pemain kacukan yang mereka boleh pilih.

"Itu satu kelebihan kepada mereka tetapi saya yakin dengan kebolehan pemain kita dan walaupun ada antara pemain kita dalam Sukan SEA lepas telah bersara, kita mempunyai pemain pelapis yang berpotensi. 

“Mereka yang dipilih untuk memasuki skuad kebangsaan terdiri daripada pemain yang sangat berkebolehan dan boleh membantu Malaysia mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas,” katanya kepada media, hari ini. 

Shahrul Zaman berharap pemain kebangsaan dapat mencapai satu tahap persiapan fizikal dan mental terbaik serta dapat bermain sebagai satu pasukan untuk mereka menghadapi saingan daripada tuan rumah dan musuh tradisi, iaitu Singapura dan Thailand.

Dengan jangkamasa yang agak panjang sebelum Sukan SEA 2019 bermula akhir November depan, katanya, skuad kebangsaan mempunyai cukup masa untuk mempersiapkan diri mereka bagi merealisasikan harapan negara. 

Untuk rekod, skuad ragbi 7s lelaki negara berjaya memperbaiki kutipan pingat perak di Singapura dengan kejayaan meraih pingat emas dalam final Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017). 

Shahrul Zaman berkata seramai 16 pemain lelaki telah dipilih untuk menjalani latihan sebagai persediaan menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina. 

Sementara itu, bagi skuad 7s wanita negara pula, sasaran ke final atau sekurang-kurangnya meraih pingat perak diletakkan kepada mereka. 

Pada edisi lepas, skuad ragbi 7s wanita turut melakar kejayaan apabila menewaskan Filipina dalam perebutan pingat gangsa.

“Saya harap pasukan ragbi wanita juga akan cuba memperbaiki pencapaian mereka berbanding Sukan SEA yang lepas, iaitu pingat gangsa. Saya percaya dengan kejayaan pada musim lepas, mereka boleh melonjakkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi dalam Sukan SEA 2019 nanti,” katanya. 

— BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video