Upacara pembukaan Sukan SEA Kemboja 2023 Edisi Ke-32 diadakan secara besar-besaran dan gilang-gemilang -- menjadikan penganjuran kali pertama menyaksikan tuan rumah meraih sambutan hebat dengan kehadiran peminat sukan yang memenuhi Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, sebentar tadi.

Tuan rumah mempamerkan persembahan unik untuk memperkenalkan agama dan budaya Kemboja kepada dunia.

Semangat kontinjen Malaysia kian membara apabila pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut iaitu jaguh karate negara, R Sharmendran, selaku pembawa Jalur Gemilang mengetuai kontinjen menyertai perarakan.




Kontinjen negara kelihatan segak dan elegan menerusi batik Malaysia sebagai pilihan pakaian rasmi bagi mengetengahkan identiti Malaysia di pentas serantau.

Warna biru yang dipakai lelaki melambangkan kedamaian dalam arena sukan sebagai tanda kesediaan tampil ke gelanggang dengan diiringi semangat kesukanan tinggi, manakala atlet wanita pula berbusana batik merah yang menggambarkan keberanian dan semangat yang agresif dalam usaha mencapai kemenangan.

Kemeriahan upacara pembukaan malam ini tampak menyemarakkan lagi semangat atlet Malaysia untuk mencapai sasaran 40 emas 37 perak dan 64 gangsa.