Skip to main content

Sukan Lain

Sukan petanque bakal dipertandingkan di Olimpik?

10517petanque.jpg
Pemilihan Paris sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2024 menjadikan sukan petanque berpotensi untuk disenaraikan sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan di temasya berprestij itu.

Dalam mesyuarat kali ke-131 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Peru, 28 jenis sukan di Rio 2016 akan dikekalkan untuk saingan Paris 2024.

Cuma, tuan rumah dijangka mendapat kelebihan menambah tiga lagi sukan baharu, dengan petanque, sukan yang berasal dari Perancis dijangka akan disenaraikan.

Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim, yakin melalui sokongan Putera Albert II Monaco dan Presiden Konfederasi Petanque Dunia, Claude Azema, sukan itu berpotensi cerah disenaraikan.

“AGM (mesyuarat agung tahunan) petanque akan diadakan penghujung tahun ini untuk membincangkan langkah-langkah yang harus diambil untuk memastikan sukan ini dipertandingkan di Paris 2024,”
kata Mohd Noor.

Jika benar ia menjadi kenyataan, dua pemain negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Mohd Nuzul Azwan Ahmad Temizi, harus menjadi orang paling gembira sambil berharap ia akan membuka mata ramai pihak terhadap potensi sukan petanque.

“Beraksi dalam Sukan Olimpik merupakan satu harapan saya. Saya juga berharap bantuan yang terus diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” kata Akmal.

“Walaupun hanya beraksi pada pentas Sukan SEA, kami berdepan pemain-pemain handalan yang pernah muncul sebagai juara dunia,” kata Nuzul pula.
 

Advertisement

Must Watch Video