PARA ASEAN 2017
Sukan Para ASEAN: Syahidah yakin pertahan dua emas
Pemanah para Singapura, Nur Syahidah Alim, bertekad mahu mempertahankan dua pingat emas menerusi acara compound individu wanita dan berpasukan campuran dalam Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September ini.
Dia melahirkan keyakinan mampu melakukannya sekalipun wakil negara, Saadah Abdul Wahab, sudah bersedia untuk melunas dendam dua tahun lalu.
Selepas cemerlang dalam penampilan kali pertama dalam temasya itu pada 2015, Syahidah kali ini tampak lebih tenang dan matang, terutama dalam menghadapi pesaing yang sama.
Iklan
Bagi membuktikan penguasaan berterusan, Syahidah menegaskan kehadirannya ke Kuala Lumpur adalah ingin memastikan keberkesanannya membantu kontinjen Singapura yang mengharapkan prestasi lebih baik.
"Persediaan dilakukan dengan sangat rapi. Saya dan rakan sepasukan bekerja keras untuk acara ini. Kami berlatih lima hari seminggu, termasuk di dalam gimnasium.
"Kami melakukan latihan setiap hari dengan menggunakan 150 hingga 200 anak panah," kata Syahidah.
Kontinjen negara luar sudah mula tiba di Kuala Lumpur bagi membuat persediaan lebih awal sebelum bermula pertandingan sebenar pada Ahad ini.
Antara kontinjen yang kini berada di Kuala Lumpur adalah Thailand, Filipina, Singapura, Kemboja dan Laos dengan melibatkan beberapa acara sukan manakala Indonesia mengesahkan ketibaan penuh kontinjen mereka esok.
Must-Watch Video