Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia Nagoya 2026: Enam pingat emas dipertandingkan dalam acara sepak takraw

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asian-games-2026.jpg
Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Nagoya (AINAGOC) telah pun meluluskan sebanyak enam (6) pingat emas bagi acara sepaktakraw untuk dipertandingkan di Sukan Asia Nagoya yang akan berlangsung mulai 19 September hingga 4 Oktober 2026.

Kelulusan enam (6) pingat emas tersebut telah dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 25 Disember 2024 yang telah dihantar oleh Encik Murate Satoshi Setiausaha Agung Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Nagoya (AINAGOC) kepada Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Enam (6) pingat emas tersebut akan melibatkan tiga (3) acara untuk kategori lelaki dan tiga (3) acara untuk kategori wanita.

Tiga (3) acara yang akan dipertandingkan untuk kategori lelaki adalah Regu Berpasukan, Quadrant dan Regu.

Manakala tiga (3) acara yang akan dipertandingkan untuk kategori wanita adalah Regu Berpasukan, Quadrant dan Double.

Namun ASTAF telah menerima sepucuk surat dari Presiden Persekutuan Sepaktakraw Jepun Shunichi Takeshita bertarikh 15 Januari 2025 yang telah dihantar kepada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang mencadangkan agar Acara Double dalam kategori lelaki dipertandingkan bagi menggantikan Acara Regu meskipun acara tersebut telah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Nagoya (AINAGOC).

ASTAF melalui Presidennya Datuk Abdul Halim Kader senantiasa menerima apa jua pandangan dan cadangan dari semua negara ahli gabungan ASTAF untuk dipertimbangkan.

Abdul Halim Kader tidak akan tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan cadangan tersebut sehinggalah satu perbincangan akan diadakan di kalangan beberapa Presiden negara-negara ahli gabungan ASTAF yang akan turut melibatkan Presiden Takraw Association of Thailand (TAT) Thana Chaiprasit, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Dato’ Mohd Sumali Reduan dan Setiausaha Agung PSM Datuk Hj Abidullah Hj Salleh.

Sementara itu, ASTAF telah mencadangkan agar setiap negara boleh menyenaraikan sehingga 15 orang pemain lelaki dan wanita manakala tuan rumah Jepun dibenarkan untuk menyenaraikan seramai 18 orang pemain lelaki dan wanita.

Setiap negara hanya dibenarkan menyertai dua (2) acara sahaja dari tiga (3) acara yang akan dipertandingkan. Selaku tuan rumah Jepun dibenarkan untuk menyertai ketiga-tiga acara tersebut.

Apa pun keputusan yang bakal diambil kelak berkaitan cadangan dari Persekutuan Sepaktakraw Jepun tersebut, sememangnya acara Regu Lelaki adalah merupakan suatu acara tradisi yang telahpun dipertandingkan pada Sukan Asia edisi sebelumnya termasuk Sukan Asia Hangzhou China 2022.

ASTAF akan terus mencari solusi terbaik untuk menangani apa jua isu yang ditimbulkan oleh mana-mana ahli gabungannya di meja rundingan demi keharmonian dan kecemerlangan sukan sepaktakraw.

Advertisement

Must Watch Video