Pasukan skuasy wanita negara tampil beraksi penuh semangat walaupun memenangi perlawanan ke atas Pakistan dengan mudah.
Skuad negara menganggap setiap perlawanan Sukan Asia Hangzhou sebagai peluang baik untuk mengatasi serta menyesuaikan diri dengan tekanan beraksi secara berpasukan.
Rachel Arnold, S. Sivasangari dan Aira Azman diberi peranan utama sementara Aifa Azman sebagai pemain simpanan ketika menundukkan Pakistan dengan 3-0, sekali gus meraih kemenangan kedua pada hari pertama acara berpasukan bermula selepas turut menewaskan Nepal dengan 3-0 hari ni.
"Kami beraksi dengan baik pada hari pertama ini.
"Dua pertemuan ini benar-benar membantu kami untuk menyesuaikan diri jadi kami berharap mampu beraksi lebih baik ketika menentang Macau esok," kata Rachel.
Menurut Sivasangari pula: "Pemain Pakistan jarang beraksi dalam siri jelajah dan kami sempat mengenal pasti mereka dalam Kejohanan Asia, cuma kami banyak memikirkan tentang persiapan diri sendiri.
"Hari ini kami turun dengan keyakinan dalam melaksanakan strategi kami untuk menang."
Shaiful Shamsudin
Tue Sep 26 2023
