KRIKET
Sukan Asia Hangzhou: Kriket wanita jadi sandaran emas
Chef-de-mission (CDM) Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, meletakkan sasaran pingat emas buat kontinjen kriket wanita kebangsaan yang hari ini muncul kem kedua negara untuk berlepas destinasi pertandingan.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan anak buahnya agar menjaga pemakanan sepanjang berada di negara Tembok Besar berkenaan meskipun tuan rumah sedia memberikan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada atlet negara.
"Tiada yang lain, mereka menyasarkan pingat emas sahaja untuk Malaysia," katanya ketika menyempurnakan Majlis Flag-Off Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2022 Hangzhou di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Iklan
Sementara itu, ketua pasukan kriket wanita kebangsaan, Winifred Anne Duraisingam, menyahut baik amanat CDM tersebut agar sentiasa mencurahkan 100 peratus kudrat ketika beraksi.
Begitu pun, dia berharap skuad kebangsaan perlu fokus kepada perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang emas yang menjadi taruhan kali ini.
"Kami akan berikan 100 peratus dan keputusan akan datang satu persatu," katanya dengan Malaysia bakal membuka kempen bertemu Hong Kong, Khamis ini.
Untuk rekod, skuad kriket wanita kebangsaan berjaya menggenggam pingat gangsa dalam dua edisi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Kemboja 2023.
Must-Watch Video