Skip to main content

Sukan Lain

Skuad ragbi 7's wanita gigih tingkatkan prestasi

rozliana-muhd-ridwan.jpg
Ketua pasukan skuad ragbi 7's wanita negara, Rozliana Muhd Ridwan, percaya tempoh persiapan lebih awal memberikan manfaat buat mereka menghadapi dua tugasan penting tahun ini.

Skuad 7's wanita negara mempamerkan graf peningkatan sejak 2017.

Selepas meraih pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, mereka meneruskan momentum berkenaan dengan menjuarai Kejohanan Trofi Asia di Filipina tahun lalu.

Ia sekali gus melayakkan mereka untuk menyertai Siri Asia buat julung kalinya tahun ini.

Lantaran itu, pembabitan dalam kejohanan berkenaan di samping misi untuk tampil lebih baik dalam Sukan SEA Filipina -- dari 30 November sehingga 11 Disember depan -- memerlukan perancangan yang lebih rapi.

"Kami memerlukan latihan untuk memastikan kami betul-betul cergas kerana bukannya mudah untuk beraksi dalam Siri Asia. 

"Kami akan berdepan pasukan yang lebih tinggi tahapnya, jadi latihan ini boleh membantu kami mencapai prestasi yang lebih baik lagi," ujar Rozliana. 

Seramai 28 pemain disenaraikan ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade, ketika ini sebagai persediaan awal untuk menghadapi dua tugasan utama berkenaan.

Cabaran pertama mereka tahun ini ialah Kejohanan Ragbi Borneo Sevens di Sandakan, Sabah, Mac depan dan ia peluang pertama untuk menguji kesemua anak buahnya sebelum bilangan pemain dikurangkan kepada 16 bagi fasa kedua latihan nanti.

"Ia akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana persiapan kami.

"Mungkin ada beberapa pertandingan lagi yang akan kami sertai. 

"Pasukan ini masih mentah tetapi dalam tempoh dua tahun, keupayaan skuad ragbi wanita negara semakin meningkat," ujarnya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video