Skip to main content

Sukan Lain

Skuad ragbi 7's tuntut persiapan rapi

ragbi-7-s-2019.jpg
Pembantu jurulatih skuad ragbi 7's negara, Nazeer Nesharah, yakin persiapan lebih rapi dapat dilakukan bagi melaksanakan misi mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini 

Persiapan awal skuad negara bermula semalam dengan 16 pemain menandatangani kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Daripada jumlah berkenaan, 10 pemain merupakan sebahagian daripada skuad yang meraih emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, lima muka baru tersenarai bagi memperkuatkan cabaran Malaysia untuk menghadapi temasya dwi-tahunan itu.

"Dengan bantuan MSN, kami harap program persiapan Sukan SEA di Manila berjalan lancar. 

"Mereka yang baru diserapkan terdiri daripada pemain yang pernah beraksi dalam Sukan Universiti Dunia. Mereka mempunyai potensi untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang sekiranya diberi pendedahan latihan yang lebih rapi," kata Nazeer.

Skuad ragbi 7's negara akan memulakan fasa latihan Isnin depan dengan tumpuan terlebih dahulu diberikan kepada tahap semasa pemain.

Cabaran sulung mereka tahun ini adalah Kejohanan Borneo Sevens yang dijadualkan di Sandakan, Sabah, Mac depan.

Selain misi mempertahankan emas Sukan SEA, skuad negara juga perlu memastikan mereka menjuarai Kejohanan Trofi Asia 2019 di Indonesia untuk kembali merebut tempat ke saingan Asia Sevens tahun depan.

"Kelayakan ke Asian Sevens juga merupakan sasaran kami selain misi mempertahankan emas Sukan SEA. 

"Saya harap pemain bersedia untuk membawa cabaran Malaysia," kata Nazeer lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video