SUKAN SEA
Skuad perahu naga dijangka beraksi di Manila -- Nazifuddin
Skuad perahu naga negara semakin hampir mendapat tiket ke Sukan SEA Filipina, November depan apabila Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mengesahkan sudah menerima surat kelulusan daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).
MOM menerima surat kelulusan MASCA untuk menghantar 32 atlet perahu naga.
Ia satu lagi perkembangan positif sejak isu berkenaan timbul minggu lalu.
Iklan
Malah, MOM sudah memanggil Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, pengurus dan wakil atlet perahu naga untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA, Selasa depan.
"Kami akan melihat dan mendengar kenyataan daripada Megat Shahriman dalam isu menghantar atlet beraksi dalam acara perahu naga di Manila," kata Nazifuddin.
Sebelum ini, pegawai dan atlet perahu naga kecewa apabila MASCA hanya meluluskan penyertaan seorang atlet kayak.
Ia tamparan hebat buat atlet memandangkan skuad negara sudah berlatih sejak tahun lalu.
Malah, mereka sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk mewakili negara andai pihak persatuan tidak mampu menampung kos atlet di bawah kategori B.
"Kami akan berjumpa dengan semua pihak dalam MASCA untuk membuat keputusan akhir, sama ada menghantar atlet ke Sukan SEA atau sebaliknya," kata Nazifuddin lagi.
Must-Watch Video