Skip to main content

Sukan SEA

Skuad perahu naga bingung dinafikan penyertaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

skuad-peragu-naga.jpg
Barisan atlet perahu naga negara berasakan peluang mereka ke Sukan SEA 2019 November depan bagaikan "dirompak" presiden sendiri setelah dinafikan penampilan di Filipina meskipun menepati kriteria yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Barisan atlet negara yang terdiri daripada skuad lelaki dan wanita bersama Timbalan Presiden, Datuk Michael Wong, hadir di pejabat MOM hari ini untuk menyerahkan borang rayuan bagi memastikan atlet tetap dihantar di bawah panji MOM.

Ia susulan larangan daripada Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharuddin, yang hanya melepaskan atlet kanu beraksi di Filipina manakala baki 32 atlet untuk acara perahu naga dinafikan hak ke temasya itu.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pembatalan penyertaan skuad perahu naga negara dalam Sukan SEA, kami berasa sangat sedih dan kecewa kerana sudah melakukan persiapan selama bertahun-tahun. 

"Lagipun, bukan setiap edisi kategori perlumbaan bot tradisional dipertandingkan.

"Kami pun tidak tahu sebab apa penyertaan kami dibatalkan menjelang beberapa bulan lagi Sukan SEA dilangsungkan," kata atlet skuad itu, Syaful Epandy Hamdan.

Mereka tetap meneruskan latihan di Putrajaya biarpun masa depan mereka untuk beraksi dalam temasya dwitahunan itu masih samar.

Peluang masih ada buat skuad itu memandangkan atlet dari sukan petanque, karate dan luncur ais juga menghadapi konflik dalaman persatuan.

"Ada harapan MOM akan mempertimbangkan rayuan tersebut kerana pada tahun lalu, MOM telah memberi peluang kepada skuad perahu naga wanita untuk membuat kemunculan dalam Sukan Asia 2018 buat julung kalinya.

"Saya percaya MOM akan memberi satu lagi peluang untuk skuad negara dalam Sukan SEA 2019," kata seorang lagi atlet skuad itu, Lesley Lim Ai Li. 

Advertisement

Must Watch Video