BOLA KERANJANG
Skuad bola keranjang wanita disaran kerja keras
Ketua jurulatih bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin, mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki oleh anak buahnya jika ingin mempertahankan pingat emas Sukan SEA di laman sendiri, tahun depan.
Berdasarkan prestasi semasa dalam Kejohanan Persatuan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) yang baru melabuhkan tirai semalam, Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu, sekali gus terpaksa akur untuk sekadar muncul naib juara edisi kali ini di laman sendiri.
Kebangkitan Filipina yang menakjubkan serta Thailand dalam kejohanan itu menjadi petanda tiada laluan mudah buat skuad wanita negara dalam misi mempertahankan emas Sukan SEA yang dimenangi tahun lalu.
Iklan
Sze Yuin mengakui masih banyak kelemahan skuad negara yang perlu diatasi jika ingin muncul juara di laman sendiri tahun depan.
"Ini pengajaran untuk pemain. Mereka perlu mempamerkan peningkatan besar prestasi sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA.
"Mereka perlu belajar dan banyak berlatih kekuatan mental dan skil," tegasnya.
Dalam Kejohanan SEABA, Malaysia bermula baik dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Vietnam, Indonesia dan Singapura sebelum tersungkur di tangan Filipina 77-73 dalam aksi keempat pusingan round robin.
Walaupun berjaya memenangi dua aksi terakhir ke atas Laos dan Thailand, namun ia tidak cukup untuk menafikan Filipina yang muncul juara keseluruhan selepas menang kesemua enam perlawanannya tanpa kalah.
Must-Watch Video