Teknik guntingan yang dilakukan pesilat negara, Zulafzly Zulfakar, memberikan kilauan pingat emas buat skuad pencak silat negara dalam acara tanding putra kelas D, Sukan SEA Filipina di Subic hari ini.
Pesilat itu, yang menjadi harapan terakhir skuad negara untuk mencapai sasaran dua pingat emas, berdepan tugas berat dalam final di mana dia berdepan juara Sukan Asia 2018 dari Indonesia, Hanifan Kusuma.
Selepas bergelut untuk meraih mata pada awal saingan, dia kemudian melakukan keajaiban apabila teknik guntingan yang dilakukannya pada saat-saat akhir berhasil menjatuhkan lawan itu, sekali gus meraih kemenangan 3-2.
"Yang pertama, saya berterima kasih kepada keluarga kerana sentiasa menyokong saya.
"Juga kepada rakan-rakan yang banyak mendoakan kejayaan saya.
"Dan pingat emas ini juga untuk bapa saya," katanya.
Terdahulu, gandingan Taqiyuddin Hamid dan Sazlan Yuga mengungguli pingat emas acara ganda putera Isnin lalu.
Penulis Jemputan
Thu Dec 05 2019