BINA BADAN
Sazali Samad tenang lalui penggantungan lapan tahun
“Sepanjang tempoh lapan tahun menjalani hukuman penggantungan, saya tenang meneruskan kehidupan seharian bersama-sama ahli keluarga, tiada apa yang saya kesali ketika menghadapi ujian Allah ini.”
Itu reaksi bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, menjelang hari 'pembebasannya' esok apabila hukuman penggantungan lapan tahun yang dikenakan ke atasnya secara rasmi berakhir pada Sabtu, 23 September 2023.
Tanpa mahu berpaling lagi ke belakang, Sazali berkata dia kini mahu meneruskan kehidupan hariannya seperti biasa, sama dengan apa yang telah ditempuhinya sejak lapan tahun lalu sebaik dikenakan hukuman penggantungan berkenaan.
Iklan
“Apa yang dilalui sepanjang lapan tahun ini, saya anggap ia satu sejarah. Sama ada pahit mahupun manis, saya telah tempuhi tempoh lapan tahun ini dengan pelbagai cerita suka dan duka, apapun saya tetap tenang.
“Pejam celik, pejam celik tak sangka akhirnya hari itu (tempoh penggantungan tamat) akan tiba esok (Jumaat). Alhamdulillah pada hari kebesaran hari Jumaat, tempoh penggantungan saya tamat.
“Sudah tentu dalam tempoh penggantungan, isteri saya (Hashrine Hashim), anak-anak, ahli keluarga dan sahabat lain banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus cekal menghadapi ujian Allah ini,” katanya.
Merujuk Perkara 10.12.1 Kod Anti-Doping Dunia, Sazali yang ketika itu masih menjalani hukuman penggantungan empat tahun (22 September 2015 hingga 22 September 2019) gara-gara positif bahan larangan jenis Anabolic Steroid, tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan oleh Kod Penandatangan (Code Signatory).
Ketika ditanya sama ada masih berminat untuk kembali membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa sebaik tempoh penggantungannya berakhir, Sazali berkata; "Cukup-cukuplah apa yang saya sudah capai sebelum ini.
“Rasanya semua saya dah dapat, termasuk memenangi gelaran Olahragawan Kebangsaan, selain Mr. Universe dan Mr. Asia. Sampai masanya anak saya (Muhammad Hazim) meneruskan legasi yang saya tinggalkan,” tambah Sazali.
Untuk rekod, Sazali memenangi gelaran Mr Universe (juara dunia) dalam edisi 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014 sepanjang kariernya bergelar atlet bina badan negara.
Malah, Sazali, yang pernah menyambar gelaran Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali (2006, 2010, 2013 dan 2014), turut merekodkan kejayaan cemerlang dengan memenangi sembilan gelaran Mr. Asia - 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.
Must-Watch Video