Skip to main content

Sukan Lain

Saya tidak mencintai sukan tinju -- GGG

gennadygolovkin-cropped_6gb86xxp8u7w1a18zwfsp9qjf.jpg
Gennady Gennadyevich Golovkin mungkin telah memenangi kesemua 37 pertarungan dalam kariernya sebagai petinju profesional tetapi dia menegaskan tidak mempunyai rasa cinta terhadap sukan itu.

Golovkin -- yang masih belum tewas -- akan mempertaruhkan kejuaraan WBC, WBA, IBF dan IBO bagi kategori middleweight apabila dia berdepan Saul 'Canelo' Alvarez di Arena T-Mobile, Las Vegas, esok.

Petinju Kazakhstan itu telah pun menempatkan dirinya selaku kuasa besar bagi kategori middleweight dan hanya memerlukan dua kemenangan bagi menyamai rekod petinju legenda, Bernard Hopkins, yang berjaya mempertahankan kejuaraannya selepas 20 pertarungan.

Begitupun, Golovkin -- yang turut dikenali sebagai GGG --memiliki perspektif berbeza terhadap dunia tinju, apabila mengakui tidak memiliki keghairahan tentang sukan itu.

"Saya tidak pernah mencintai sukan tinju. Ia hanya kerjaya saya, kehidupan saya. Saya mungkin meminati tinju tetapi saya tidak pernah ada rasa cinta terhadap sukan ini," katanya dalam sebuah artikel yang diterbitkan dalam The Players Tribune.

"Tinju melibatkan pertarungan yang kejam. Siapa yang sanggup ada perasaan cinta terhadap sukan ini? Tetapi hakikatnya saya pandai bertinju. Ia kerjaya saya. Jalan mudah untuk mendapatkan duit.

"Tetapi saya tahu pentingnya untuk menjadi GGG di atas gelanggang tetapi tidak bermakna saya menyukainya.

"Saya sayangkan keluarga saya, isteri saya, Alina. Saya sayangkan anak saya, Vadim, dan juga anak perempuan saya yang baru lahir minggu ini."

Golovkin memastikan ada perbezaan di antara dirinya sebagai seorang ayah dan GGG -- watak yang dimainkan setiap kali melangkah ke dalam gelanggang.

"Setiap kali sebelum beraksi, tubuh badan saya ingat apa yang perlu dilakukan," katanya.

"Minggu ini juga sam, tatkala pertarungan berdepan Canelo Alvarez semakin hampir. Ketika itulah, Gennady Golovkin bertukar menjadi GGG.

"Apabila ia berlaku, saya seperti ikan jerung di lautan. Gelanggang tinju adalah rumah saya, sama seperti ikan jerung yang menyedari laut adalah kediamannya."
 

Advertisement

Must Watch Video