ARRC
Saya pernah beraya atas motosikal -- Hafizh Syahrin
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, tiada masalah untuk berlumba dalam suasana Aidilfitri menjelang perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai, China bulan depan.
Hafizh Syahrin berdepan masalah teknikal dalam perlumbaan pertama pusingan pertama ARRC di Buriram, Thailand minggu lalu, di mana jenteranya hanya bertahan sepusingan sebelum memaksanya menarik diri.
Bagaimanapun, dia bangkit penuh terpuji untuk memanjat podium selaku naib juara dalam perlumbaan kedua.
Iklan
Saingan pusingan kedua ARRC pula akan berlangsung dari 19 hingga 21 April depan, di mana rata-rata umat Islam masih dalam sambutan perayaan Aidilfitri.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu dugaan buat Hafizh Syahrin memandangkan dia sudah terbiasa dengan perkara itu sejak zaman remajanya.
"Bagi saya, sebagai seorang penunggang yang pernah beraya di atas motosikal atau yang pernah beraya di luar negara, ia sudah menjadi perkara biasa," katanya dalam satu wawancara sebagai tetamu jemputan Nadi Arena hari ini.
"Orang kata dah lali. Isteri saya juga sudah faham, jadi bagi saya tiada mood raya atau apa-apa mood lain.
"Kerana perlumbaan adalah perlumbaan, ia adalah sebahagian daripada pekerjaan dan kegilaan kami.
"Jika dapat raya sehari dua pun, ia sudah cukup memadai buat saya untuk meraikannya bersama keluarga," katanya.
Must-Watch Video