Bintang Cleveland Cavaliers, LeBron James, berkata dia mengalu-alukan penyertaan Lance Stephenson ke Quicken Loans Arena.
James menyuarakan pendapatnya minggu lalu bahawa pasukan itu memerlukan seorang pemain perancang.
Pihak pengurusan menyambut baik cadangan LeBron apabila membuka pintu terhadap beberapa pemain ejen bebas bagi mencuba nasib dalam merebut slot bersama pasukan berpangkalan di Ohio itu.
Cavs mengadakan sesi latihan terhadap beberapa pemain, antaranya Mario Chalmers, Kirk Hinrich, Jordan Farmar dan Stephenson dalam percubaan mengukuhkan pasukan yang telah tewas tujuh daripada 14 perlawanan sebelum ini.
James menerima baik kemasukan empat pemain tersebut -- termasuk pemain bermasalah, Stephenson, yang gagal menambat hati Charlotte Hornets, Los Angeles Clippers, New Orleans Pelicans dan Memphis Grizzlies sejak menolak kontrak pembaharuan dari Indiana Pacers pada tahun 2014 yang bernilai USD44 juta (RM195 juta).
"Saya ada sejarah bersama dengan kesemua pemain ini kecuali Jordan," James memberitahu wartawan.
"Seperti semua sedia maklum, saya juga ada sejarah dengan Lance.
"Tetapi fokus utama saya ketika ini adalah membantu pasukan kembali beraksi selaku pasukan juara."
Stephenson dan James pernah terlibat dalam satu insiden yang cukup diingati peminat NBA di mana bekas bintang Indiana Pacers itu dilihat telah menghembus nafas ke telinga James ketika pertembungan di antara Pacers dan Miami Heat pada tahun 2014.
Stephenson, yang turut dikenali dengan corak permainan agresif dianggap antara pemain berbakat di NBA sebelum meninggalkan Pacers bagi menyertai ejen bebas.
Bagaimanapun, James rela melupakan insiden itu sekiranya khidmat Stephenson mampu membantu pasukan.
"Saya cuma mahu menang, itu sahaja," ujar James.
"Saya tidak ada sebarang masalah peribadi dengan sesiapa."