Skip to main content

Hoki

Sarjit Singh hormati keputusan Faizal Saari gantung kayu hoki

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sarr.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, menghormati keputusan penyerang prolifik Malaysia, Faizal Saari, yang mengumumkan persaraannya daripada arena hoki antarabangsa. 

Keputusan ini dibuat selepas Faizal membantu Terengganu Hockey Team (THT) menjulang kejuaraan treble Liga Hoki Malaysia (LHM) buat kali kedua, Sabtu lalu.

Meskipun kehilangan Faizal menjadi satu tamparan besar buat skuad kebangsaan, Sarjit menerima hakikat itu dan menegaskan bahawa ini adalah masa terbaik untuk memberi peluang kepada bakat muda bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

"Kami telah memberi dia masa yang mencukupi. Dia sudah membuat keputusan, dan kami hormati perkara itu. 

"Dia mahu berehat selepas kejohanan di China, dan kini memutuskan untuk bersara. Semoga berjaya dalam apa jua yang dilakukannya selepas ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.

Sarjit turut menekankan bahawa saingan Liga Hoki Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya menjadi platform terbaik untuk menilai prestasi pemain yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke dalam skuad kebangsaan.

Fokus utama Speedy Tigers kini terarah kepada Piala Negara-Negara, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini. 

Skuad kebangsaan dijadual memulakan sesi latihan pertama pada Mac depan sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut.

"Kami telah mengenal pasti beberapa pemain muda berbakat. Ada sekitar empat hingga enam pemain junior yang bakal dipanggil menyertai pasukan. Nama mereka akan diumumkan tidak lama lagi." tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video