Skip to main content

Advertisement

Gusti

Samoa Joe alami kecederaan; Miz dalam misi balas dendam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

header-10-jan.jpg
Bintang utama Raw, Samoa Joe dilaporkan telah mengalami kecederaan dan berkemungkinan akan menyebabkan beliau terlepas beberapa acara penting selepas ini.

Joe telah mengalami kecederaan pada bahagian tapak kaki kanannya dan ia berlaku semasa beliau menentang Rhyno di acara Monday Night Raw semalam. Satu pemeriksaan imbasan MRI akan dijalankan hari ini bagi mengenalpasti tahap keseriusan kecederaan tersebut dan dari situlah tempoh rehat Joe untuk pulih dapat diketahui.



“Semasa perlawanan, Joe merasakan seperti ada bunyi ‘pop’ pada bahagian tapak kaki kanannya. Kami telah membuat pemeriksaan dan percaya beliau mengalami kekoyakan di bahagian plantar fascia, yang merupakan tisu tebal di dalam tapak kaki.



Pemeriksaan MRI akan mengesahkan diagnosis tersebut. Rawatan akan meliputi balutan pada bahagian kaki untuk mengurangkan pergerakan di mana Joe perlu bertongkat untuk sementara waktu, termasuk suntikan platelet plasma,” demikian menurut Dr. Chriss Amann, pegawai perubatan senior WWE.



Kecederaan yang dialami Joe ini menyebabkan namanya terpaksa digugurkan daripada terlibat dalam siri kejohanan Mix Match Challenge yang akan mengambil tempat bermula 17 Januari depan melalui Facebook Watch.

Joe telah mendapat undian tertinggi untuk bergandingan dengan Bayley dan oleh kerana Joe telah tersingkir, Elias yang menduduki tempat kedua akan mengambil tempat bintang berusia 38 tahun itu.



Joe juga telah dijadualkan untuk turut serta dalam perlawanan Tempur Raksasa Diraja di acara Royal Rumble hujung bulan ini. Namun jika kecederaan ini tidak mampu pulih sebelum tempoh tersebut, terpaksalah Joe berputih mata dan hanya menonton dari rumah sahaja.

Miz kembali dengan misi tebus maruah

Bekas Juara Antara Benua WWE, The Miz membuat kemunculan semula di acara Raw semalam setelah hilang seketika dari radar WWE sejak beberapa minggu yang lalu.

Setelah tewas dan hilang kejuaraan kepada Roman Reigns pada 21 November lepas, WWE Universe sememangnya mampu membuat telahan yang Miz pastinya akan melampiaskan segala kesumat yang telah tersimpan ke atas Roman sekembalinya kelak.



Dan itulah yang Miz berserta konco-konconya lakukan di acara Raw semalam. Ketika perlawanan antara Roman, Seth Rollins dan Jason Jordan menentang Balor Club (Finn Balor, Gallows & Anderson) berakhir dengan Balor Club muncul sebagai pemenang, Miztourage muncul dan menyerang Roman tanpa belas kasihan menyebabkan sang juara terlantar longlai di atas gelanggang.

Ketika ditemubual di siaran Raw: Fallout, Miz dengan bangganya mengatakan yang takkanlah beliau kembali dan sekadar menyapa ‘hai’ kepada Roman. Tentunya sesuatu yang lebih dari itu akan dilakukan bagi membayar semula apa yang telah Roman dan The Shield lakukan kepadanya pada November lalu.



Miz dan Roman akan dipertemukan dengan Kejuaraan Antara Benua menjadi taruhan di acara sambutan Raw ke 25 tahun pada 23 Januari depan.

Episod istimewa Raw tersebut juga nanti akan menampilkan ramai bintang lagenda seperti “Stone Cold” Steve Austin, The Undertaker, De-Generation X, Dudley Boyz, Ric Flair, Scott Hall & Kevin Nash, New Age Outlaws, Ron Simmons, JBL termasuk pengulas lagenda Jim Ross dan Jerry “The King” Lawler.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan  saksikan acara WWE Royal Rumble pada 29 Januari dan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go dan On Demand.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video