Skip to main content

Sukan Lain

Saingan di Doha keutamaan Baharuddin

alia.jpg
Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar dan Sukan SEA Filipina 2019 menjadi keutamaan jurulatih negara, Baharuddin Hashim, buat dua atlet menembak sepenuh masa yang berada di bawah bimbingannya tahun ini.

Lima penembak ditawarkan kontrak sepenuh masa, iaitu Alia Sazana Azahari yang berada dalam tier 2 selain Jonathan Wong, Ezuan Nasir Khan, Abraham Eng Wei Jin dan Benjamin Khor bagi tier 3.

Jonathan dan Alia merupakan tanggungjawab besar buat Baharuddin untuk memastikan persiapan mereka ke Sukan SEA Filipina di landasan terbaik serta Kejohanan Asia, November depan yang cukup penting bagi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, itu tidak bermakna penembak lain yang akan berada dalam tier 4 tidak berpeluang untuk merebut slot ke kejohanan utama andai mampu mempamerkan prestasi konsisten.

"Program tier 4 masih lagi relevan dan atlet yang berada dalam kelompok ini perlu berusaha untuk merebut tempat beraksi dalam kejohanan antarabangsa," kata Baharuddin.

Mohd Lutfi Othman yang berada dalam tier 4 memahami cabaran pada tahun ini apabila acaranya, 50 meter rifle, tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina dan hanya akan bersedia ke Kejohanan Asia di Doha.

"Terdapat perbezaan status sebagai atlet separuh dan sepenuh masa kerana komitmen yang diberikan dan sasaran yang ditetapkan lebih tinggi," kata Lutfi.
 

Advertisement

Must Watch Video