Atlet muay thai negara, Mohd Rifdean Masdor, memaklumkan bahawa dia berada dalam kondisi terbaik menjelang penampilan kedua di gelanggang ONE Championship, 19 Julai ini.

Rifdean yang dikenali dengan panggilan 'Magic Boy' itu menjangkakan perlawanan lebih sukar menantinya di Bangkok berdepan pencabar dari negara tuan rumah, Thailand, iaitu Pancake Kiattongyot.

Terdahulu, atlet berusia 21 tahun itu melakar kejutan selepas hanya memerlukan satu minit 18 saat untuk menumbangkan lawannya ketika penampilan pertama yang juga dari Thailand, Pichai Lookbanmai dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 menerusi 'technical knockout' (TKO) di Stadium Tinju Lumpinee.

"Setakat ini semua persiapan berjalan dengan lancar dan akan bersedia di Thailand lebih kurang dua minggu sebelum pertempuran sebenar.

"Lawan yang bakal saya hadapi merupakan pencabar yang kuat namun, saya tetap memberikan sepenuhnya untuk meraih kontrak ONE Championship itu," katanya.

"Tekanan sentiasa diberikan kepadanya tetapi kami akan melaksanakan strategi yang dirancang untuk menghadapi tanpa sebarang masalah," kata ketua jurulatih, Bernard Radin.