Skip to main content

Sukan Lain

Ridzuan Puzi pamer peningkatan menjelang Kejohanan Dunia IPC

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ridzuanpuzi-130517.jpg
Atlet olahraga Paralimpik negara, Ridzuan Puzi, semakin bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai depan, selepas memperbaharui rekod peribadinya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor.

Kehadiran Ridzuan dalam saingan yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) itu menjadi tumpuan kerana dia beraksi dengan atlet normal.

Begitupun, juara acara 100 meter T36 di Paralimpik Rio 2016 itu tidak mengecewakan apabila mencatat 11.89 saat dalam sesi saringan.

Lantas, ia mengatasi catatan peribadinya dan juga rekod Paralimpik sebelum ini, iaitu 12.07 saat di  Rio, sekaligus menambah keyakinan buat jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan, agar Ridzuan lebih menyinar di London nanti.

"Saya sangat gembira.

"Dia mencatatkan masa terbaik peribadi dan menduduki ranking nombor satu dunia ketika ini dengan mengatasi catatan peserta lain.

"Kami berkeyakinan kerana dia telah melakukan catatan terbaik peribadi.

"Dari 2015 sehingga ke hari ini, tiada siapa dapat mencatat masa 11.89 saat. Dia berjaya mengekalkan prestasinya," ujarnya.

Atlet berusia 30 tahun itu akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Grand Prix IPC di Paris, Perancis, hujung bulan ini.

Selain itu, dia turut dijadualkan untuk menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand bersama atlet normal, pertengahan Jun ini.

Pastinya Ridzuan menjadi antara taruhan dalam Kejohanan Dunia nanti dengan sasaran untuk mengekalkan dua pingat emas yang diraihnya di Doha pada 2015.

"Kalau Ridzuan mengekalkan tahap seperti ini, kita sah akan meraih tiga emas.

"Ini kerana pencabarnya dari Russia hanya mampu melakukan catatan 12.02 saat.

"Oleh itu, catatan masa ini membuatkan saya berasa yakin untuk membawa pulang tiga emas."



 

Advertisement

Must Watch Video