Skip to main content

Sukan Lain

Rezeki berganda buat Ziyad

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

25717ziyad.jpg
Rezeki berganda buat juara dunia lontar peluru F20, Mohd Ziyad Zolkefli, apabila akan menyambut cahaya mata sulung, sekaligus menambah lagi motivasinya untuk menghadapi  Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan.

Isteri Ziyad, Zafirah Mohd Nasir, kini sedang sarat mengandung sembilan bulan dan hanya menanti waktu menerima kelahiran cahaya mata.

Rezeki berganda buat Ziyad setelah merangkul emas Kejohanan Olahraga Para Dunia, dengan catatan 17.29 meter dan juga berjaya memecahkan rekod dunia peribadi miliknya ketika di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu, iaitu 16.84 meter.

Perkhabaran gembira buat Ziyad sekeluarga sudah pasti akan memberikan tonik tambahan untuk terus melakar kejayaan apabila bakal bersaing dengan atlet normal dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Kejayaan yang berjaya dicipta oleh Ziyad adalah rezeki anak," kata Zafirah.

"Ziyad telah memberitahu kepada saya bahawa dia mampu mencipta kejayaan pada 2017 tetapi dia telah melakukannya tahun lalu dalam Sukan Paralimpik Rio 2016. Jadi, saya berharap dia mampu melakukan yang terbaik buat Malaysia sekali lagi," kata bapa Ziyad, Zolkefli Othman.

Ziyad pernah beberapa kali bersaing dengan barisan atlet normal, antaranya dalam Terbuka Singapura, April lalu, namun sekadar meraih tempat keempat pada Mei dengan mencatatkan 16.54 meter.

Namun, dia kembali bangkit untuk meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand bulan lepas dengan melakar 17.07 meter.

"Jika ada rezeki, saya akan cuba untuk memecah rekod dunia dalam Sukan SEA nanti," kata Ziyad.

Atlet paralimpik olahraga negara cemerlang dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2017 di London apabila merangkul dua emas dan satu perak. 

Ziyad merupakan atlet paling menyerlah dengan lontaran rekod dunia 17.29 meter manakala dua lagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi masing-masing mencatat rekod kejohanan acara lompat jauh T20 dan rekod musim terbaik 100m T36. 

Advertisement

Must Watch Video