Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, akur Malaysia gagal menamatkan badi ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan selepas tewas 0-2 dalam Kejohanan Piala Raja Thai 2024, Ahad lalu.
Meskipun gagal menamatkan kemarau 33 tahun dalam acara berpasukan, Sumali menegaskan wujud peningkatan prestasi daripada persembahan anak buah Ahmad Jais Baharun sejak daripada Kejohanan Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur, Mei lalu.
Sumali mengesahkan PSM akan melakukan bedah siasat prestasi skuad negara dalam tempoh masa terdekat dan tidak menolak kemungkinan akan berlakunya rombakan.
"Tahun depan ada tiga kejohanan besar dan PSM menyasarkan ketiga-tiga kejohanan ini.
"Piala Asia pada Mei, Piala Raja Thai dan Sukan SEA di Thailand dengan ketiga-tiganya mempertandingkan acara berpasukan.
"Tahun ini kami sudah kalah dan kami tidak mahu ulanginya. Selepas ini kami akan bedah siasat dan duduk bersama pemain dan jurulatih untuk pastikan kami menjuarai acara berpasukan," katanya.
Shaiful Shamsudin
Wed Sep 11 2024