Skip to main content

Hoki

Piala TNB: Misi Tenaga Nasional Berhad sekat kejuaraan treble THT

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tht.jpg
Ketua jurulatih hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini, menegaskan tiada istilah balas dendam ketika mengulas mengenai persiapan pasukannya menjelang aksi final Piala TNB 2022 berdepan Terengganu Hockey Team (THT), Khamis ini.

Selepas tewas dua kali dalam aksi penentuan kejuaraan sebelum ini, TNB sudah semestinya tidak mahu dikecewakan buat kali ketiga.

Tambah Nor Saiful Zaini, anak buahnya perlu belajar daripada kesilapan lalu terutama melibatkan benteng pertahanan pasukan.

"Saya harap esok menjadi perlawanan yang adil. 

"Cuaca bagus dan pemain-pemain saya bersedia dengan baik. Mereka elak kecederaan sebab jadual padat, mereka juga perlu membuat persediaan," katanya. 

Bagi kapten pasukan TNB, Syed Syafiq Syed Cholan, dia dan rakan sepasukannya sedia untuk menggagalkan misi kejuaraan treble THT. 

"Kami tidak mahu melepaskan peluang yang ada. 

"Sekurang-kurangnya kami ada satu kejuaraan pada tahun ini," katanya. 

Sementara di kem THT, Roslan tanpa berselindung mengakui pasukannya sudah bersedia untuk bawa pulang piala ketiga musim ini ke Kuala Terengganu.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu, bagaimanapun, menjangkakan satu tugas sukar menanti anak buahnya namun tetap optimis buru gelaran ketiga musim ini.

"Kami sudah berjaya membawa pulang dua piala dan kami tidak sabar-sabar cuba memenangi piala ini pula. 

"Tapi ia bukan sesuatu yang mudah, kami perlu berusaha keras. 

"TNB pasti akan cuba memenangi satu piala (musim ini)," katanya.   

Kapten THT, Fitri Saari, juga melaungkan sentimen yang sama tapi THT juga mempunyai sebab untuk membuktikan sesuatu. 

"Saya mengharapkan pertahankan piala tapi ia bukan kerja mudah sebab TNB dibarisi ramai pemain kebangsaan. 

"THT akan bermati-matian, kalah menang belakang cerita," katanya pula. 
 

Advertisement

Must Watch Video