Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Raja Thai: Indonesia, Filipina tak hantar wakil ke Korat

takraw.jpg
Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai Edisi Ke-37 di Korat, Thailand, dari 1 hingga 8 September 2024 bakal mencatat sejarah penyertaan terbesar dengan penampilan 555 pemain iaitu 341 orang lelaki dan 214 orang wanita yang dipecahkan kepada tiga divisyen.

Sekalipun tanpa penyertaan dua lagi negara handalan dunia iaitu Indonesia dan Filipina, 12 belas negara sudah pun mengesahkan penyertaan Divisyen Perdana yang diwakili 211 orang pemain lelaki dan 167 orang pemain Wanita.

Namun, kelihatan seakan hilang serinya bila mana Indonesia dan Filipina yang merupakan negara semi finalis bagi acara regu berpasukan pada Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur Mei lalu sebelum di sekat Malaysia danThailand sah tidak akan menyertainya.

Luka ketidakhadiran dua buah negara Divisyen Perdana tersebut diubati melalui penglibatan Laos dan Kemboja yang tidak turut serta dalam Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur telah pun mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan di Korat itu kelak.




Penarikan diri Persatuan Sepaktakraw Indonesia atas alasan perlu memberikan tumpuan kepada Pekan Olahraga Nasional (PONI) Ke-21 -- bermula 8 September -- Acheh dan Medan Sumatera Utara, manakala tiada alasan yang dikemukakan Persatuan Sepaktakraw Filipina (PSTA).

Apa pun, penyertaan Laos dan Kemboja telah melengkapkan 12 buah negara yang akan mengambil bahagian dalam Divisyen Perdana selain Thailand, Malaysia, Vietnam, Korea Selatan, Myanmar, Brunei, India, Jepun, Singapura dan China.

Divisyen 1 akan menyaksikan penyertaan juaranya pada Piala Dunia ISTAF diketuai Iran, New Zealand, Pakistan. Sri Lanka, Switzerland, Taiwan, Australia, Bangladesh dan Oman.

Divisyen 2 pula akan dibarisi Iraq, Afghanistan, Argentina, Itali, Timor-Leste dan Poland.

Acara regu berpasukan merupakan acara kemuncak kejohanan selain disusuli lima lagi acara yang akan dipertandingkan iaitu antara regu, kuadran (berempat), regu campuran, kuadran campuran dan gelung.

Acara regu adalah acara wajib yang mesti disertai oleh semua negara dalam Divisyen Perdana di samping boleh memilih dua lagi acara daripada Kumpulan A dan B serta pilihan acara gelung dalam Kumpulan C.

Penetapan acara yang boleh disertai oleh negara-negara dalam Divisyen Perdana menyaksikan negara tuan rumah tidak dibenarkan menyertai dan memonopoli semua acara lelaki serta wanita yang dipertandingkan, malah hanya boleh memilih sama ada acara antara regu atau kuadran dalam Kumpulan A dan antara regu campuran atau kuadran campuran dalam Kumpulan B.
 

Advertisement

Must Watch Video