Cristiano Ronaldo mencuri perhatian apabila melakukan isyarat penuh emosi menjelang aksi Al Nassr menentang kelab Uzbekistan, Neftchi Fergana, dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) yang tertangguh selama 20 minit susulan amaran keselamatan.
Perlawanan di Alawwal Park yang dijadualkan bermula pada jam 9.15 malam waktu tempatan pada Isnin itu terpaksa ditunda bagi membolehkan pemeriksaan dan prosedur keselamatan dilaksanakan.
Dalam detik sebelum sepak mula, Ronaldo dilihat mencium jersi Al Nassr, khususnya lambang yang memaparkan imej pedang bersilang dan pokok palma, simbol pada jata Arab Saudi.
@Cristiano 🤍📸 #النصر_نيفيتشي https://t.co/oZ7MbgSqu4
— ALOSAIMI 📸 (@motim_osm) October 12, 2026
Penyerang berusia 41 tahun itu turut mengangkat jersi ke wajahnya sehingga menutupi mata, sekali gus mencetuskan perhatian penyokong yang menyaksikan tindakannya itu.
Isyarat berkenaan dilihat sebagai tanda penghormatan terhadap Arab Saudi dan mereka yang terkorban dalam beberapa serangan peluru berpandu yang melanda negara itu. Bagaimanapun, tiada pengesahan bahawa Ronaldo secara khusus mengaitkan tindakannya dengan insiden berkenaan.
Selepas perlawanan, bintang Portugal itu sekali lagi menunjukkan sokongannya apabila mengibarkan dan menyarungkan bendera Arab Saudi ketika meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan di atas padang.
Lebih bermakna, Ronaldo turut menyumbang gol dalam kemenangan 3-1 Al Nassr selepas jaringan Angelo Gabriel membuka tirai jaringan sebelum beliau menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah menjelang rehat.
Neftchi Fergana merapatkan kedudukan selepas babak kedua bermula, namun kad merah yang diterima pasukan pelawat menyaksikan mereka terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.
Al Nassr kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan sendiri lawan.
Kemenangan itu hadir ketika Arab Saudi dilaporkan berdepan beberapa serangan terhadap lapangan terbang, dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran didakwa melancarkan empat serangan dalam tempoh empat hari, dari Khamis hingga Ahad.
Laporan berkenaan menyatakan serangan itu mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang.
Susulan kejadian itu, Al Nassr turut menyampaikan ucapan takziah menerusi media sosial kepada mangsa yang terkorban serta mereka yang cedera.
“Ingatan dan doa kami bersama semua yang terkorban dan mereka yang cedera.
“Semoga Allah merahmati mereka yang terkorban dan mengurniakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera,” menurut kenyataan kelab itu.
Dari sudut prestasi, kemenangan ke atas Neftchi Fergana menyaksikan Al Nassr meraih kemenangan pertama dalam fasa liga musim ini selepas tewas kepada Al Ain pada aksi pembukaan bulan lalu.
Ronaldo pula kini sudah meledak lima gol dalam sembilan penampilan merentasi semua kejohanan musim ini, termasuk jaringan ketika menentang Al Diriyah pada Jumaat lalu.
Perlawanan itu merupakan penampilan pertamanya selepas menjalani penggantungan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Portugal.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu sebelum ini turut meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Portugal lebih awal, susulan laporan mengenai ketegangan dengan pengurus pasukan, Jorge Jesus.