Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, sudah mendapat bayangan nama yang bakal mengisi kategori double dan regu di Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, bermula Ahad ini.

Selepas mengadakan aksi persahabatan sebagai perlawanan ujian menetang Universiti Pathum Thani, bulan lalu, dijangka skuad negera akan merangkumi gabungan daripada pemain senior dan pemain baru.

Untuk rekod, skuad sepak takraw negara berjaya meraih 18 kemenangan di sebalik 28 perlawanan yang berlangsung sebelum ini.

"Kami telah melakukan saringan demi membuat pemilihan yang teliti berdasarkan prestasi semasa pemain serta beberapa elemen yang lain.

"Kita mendoakan berkat sokongan daripada semua pihak dapat melihat skuad negara mampu mempamerkan aksi yang terbaik berbanding sebelum ini," kata ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.

Kecederaan ligamen ' Anterior Talo-Fibular' (ATFL) yang dialami oleh Redwan Hakim ketika sesi latihan sedikit sebanyak menjejaskan barisan 17 pemain yang telah dipanggil.

"Kami terpaksa menggantikan dia dengan pemain lain bagi acara double dan mengharapkan Redwan kembali sembuh untuk kembali menjalani latihan bersama pasukan," tambahnya.