Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Dunia ISTAF: Ahmad Jais rendah diri, alih fokus kejuaraan hatrik

ahmad-jais-baharom.jpg
Keputusan menakjubkan buat skuad sepak takraw negara selepas berjaya merangkul dua kejuaran menerusi acara double dan regu dalam Kejohanan Piala Dunia ISTAF.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, nyata berbangga dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya ketika memastikan kemarau kemenangan sembilan tahun ke atas Thailand berakhir dengan kemenangan manis malam, malam tadi. 

Dia juga tidak menafikan pihak lawan yang juga musuh tradisi, Thailand, tampak gugup dalam setiap rejaman yang dilakukan hingga memberi laluan Malaysia mendakap dua gelaran.

"Pemain dapat beraksi dengan baik mungkin juga hasil daripada sokongan padu peminat yang merangsang prestasi pemain. 

"Pemain juga dapat menghasilkan persembahan yang memukau, ia satu peningkatan yang agak ketara dan saya harap ia dapat diteruskan dalam acara berpasukan," kata ketua jurulatih takraw negara, Ahmad Jais Baharun. 

Dua kejuaraan dalam satu malam tidak membuatkan Ahmad Jais mendabik dada, sebaliknya kekal rendah diri dengan kejayaan itu.

Namun, fokusnya kini beralih ke cabaran utama iaitu acara berkumpulan selain meletakkan misi untuk Malaysia mencipta kemenangan hatrik.


"Kalau ada pemain yang berpotensi besar, saya akan ketengahkan sebagai pelapis bagi menggantikan pemain seperti Syahir Rosdi.

"Ia supaya mereka dapat pengalaman awal dan mampu menyerap tekanan agar pasukan negara dapat mencapai sasaran. 

"Kami tidak boleh mendabik dada tapi sepatutnya bersikap diam-diam ubi berisi dan ikut resmi padi.

"Kami perlu kekalkan momentum supaya dapat beroleh kejayaan yang lebih besar," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video